Selasa, 22 Oktober 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


PAC Bentang Laporan Skandal NFC di Parlimen, Kata Tony Pua

Posted: 22 Oct 2013 09:52 PM PDT

Laporan terhadap penyalahgunaan dana awam RM250 juta bagi Projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) akan dibentangkan di Parlimen selepas ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju dengan perkara itu, kata Tony Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, laporan berkenaan sudah disiapkan, tetapi disebabkan mesyuarat jawatankuasa di bawah Parlimen, pendedahan berkenaan dilakukan selepas selesai sidang Dewan Rakyat.

"Sebenarnya siasatan dan laporan sudah selesai dan dimuktamadkan dalam PAC lalu. Tetapi laporan disiapkan dalam sesi terakhir Parlimen penggal lalu, jadi tidak dapat bawa ke dalam Parlimen.

"Sekarang ia akan dibentangkan semula kepada ahli PAC yang baru dan jika semua ahli bersetuju dengan laporan PAC sebelum ini, kita akan bentangkan dalam Parlimen," kata Pua, yang juga anggota PAC.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya berhubung dana RM250 juta projek yang diuruskan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu, menunjukkan tiada syarikat bersedia mengambil alih liabiliti projek berkenaan.

"Tidak ada syarikat akan ambil alih projek NFC. Kita tidak terkejut kerana mana ada syarikat mahu membayar dan mengambil alih RM250 juta dan tambah pelaburan untuk uruskan NFC.

"Apa jadi tunggakan RM250 juta itu, NFC yang dimiliki keluarga Shahrizat yang baru menang besar sebagai Ketua Wanita Umno itu masih berhutang dengan kerajaan.

"Kenapa satu sen pun belum dipulangkan. Kenapa tiada tindakan undang-undang diambil untuk mendapatkan balik wang tersebut," katanya di sidang medianya di lobi Parlimen, hari ini.

Sumber: The Malaysian Insider

Broker: GLC Malaysia Beli Hartanah Di London Melebihi Harga Pasaran

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia membeli hartanah di London pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran hartanah tidak berubah United Kingdom, dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan sebarang masalah akan menyebabkan kehilangan dana awam sehingga berjuta ringgit.

Beberapa ejen hartanah berkata, pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London yang bernilai £97.9 juta oleh Felda adalah contoh pembelian melebihi harga pasaran kerana syarikat penilai hartanah terkemuka Savills and Knight Frank menilai harga hartanah tersebut hanya pada harga £80 juta untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pasaran hartanah UK tidak berubah di kebanyakan tempat termasuk London. Apa yang syarikat Malaysia bayar sangat mahal dan boleh menimbulkan masalah," kata ejen hartanah berasal dari Malaysia yang enggan namanya diberitahu.
Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan pembelian tersebut sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sudah dilaporkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Broker itu berkata, GLC lain Malaysia dan agensi seperti Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji turut membeli hartanah komersial di ibu kota negara itu.

"Sesetengah agensi tidak menggunakan ejen hartanah dan pergi terus kepada penjual dan membayar harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

"Ejen hartanah kehilangan komisen, tetapi yang lebih penting, harga tidak boleh dijustifikasi. Siapa yang rugi? Rakyat Malaysia yang rugi," kata seorang lagi ejen hartanah yang mahir dengan hartanah London.

Beliau yang tidak mahu dinamakan berkata, ejen mewakili GLC ada menemuinya untuk bertanya mengenai hartanah itu, tetapi kemudian berjumpa penjual secara terus dan membeli harga hartanah itu dengan lebih mahal.

Difahamkan, Tabung Haji yang dipengerusikan oleh pengerusi baru, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sejak Julai 2013, sedang mencari lebih banyak hartanah di London selepas agensi itu membeli hartanah dengan £205 juta di 151 Buckingham Palace Road di ibu kota negara itu, Febuari lalu.

Ejen hartanah memberitahu, Tabung Haji bersaing dengan Hines, termasuk KWSP dan KWAP untuk membayar kurang £15 juta daripada harga ditawarkan.

Pembelian 151 Buckingham Palace Road berlaku selepas Tabung Haji membeli SJ Berwin's distinctive City offices adi 10 Queen Street Place dengan harga £165 juta, pada September, 2012.

Sumber: The Malaysian Insider

Negara Jimat RM30 Bilion Jika Tidak Diseleweng – Anwar

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 22 OKT: Pakatan Rakyat menganggarkan penjimatan antara RM20 bilion dan RM30 bilion setiap tahun jika pembaziran dan penyelewengan berdasarkan Laporan Tahunan Ketua Audit Negara dihentikan.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wang negara boleh dijimatkan jika kerajaan bertindak tegas terhadap kementerian terlibat dengan salah laku dan pembaziran.

DSAI"Antara contoh pembaziran besar dilaporkan adalah RM2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM3.689 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran untuk membayar pengawal tidak bersenjata di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian.

"Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan mengakibatkan perkara itu disia-siakan dan dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion dibazirkan," kata bekas Menteri Kewangan itu dipetik Sinar Harian.

Anwar berkata, pengurusan 83 projek Mansuh oleh Kementerian Kerja Raya, dianggarkan berjumlah RM2.2 bilion turut mencatat kerugian tinggi.

"Kerugian dianggarkan RM1.1 bilion atau 50 peratus daripada nilai asal disebabkan kelemahan pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor," katanya.

Menurutnya, bagi menjamin perbelanjaan kerajaan diuruskan dengan efisien dan teratur, Pakatan akan melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan, khusus bagi mencapai pengurangan 10 peratus perbelanjaan operasi.

"Program ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun Menteri Kabinet dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan. Pakatan turut menggariskan pengkajian polisi perbelanjaan kerajaan.
"Selain itu, mekanisme subsidi sasaran dan pengawalan barangan subsidi perlu diperkemaskan bagi mengelakkan salah guna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan cadangan Belanjawan Pakatan  Rakyat 2014 di bangunan Parlimen, semalam.

Sumber: Keadilan Daily

PR Muafakat Pertahan Kemenangan DUN Sungai Limau

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

SHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.

Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.

Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu.

Sumber: SelangorKu

Kerajaan Selangor Sasar 35,000 Unit RMM Dalam Lima Tahun

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

SHAH ALAM 22 OKT: Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan sebanyak 35,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka, Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan akan menambah bilangan rumah mampu milik dengan membinanya melalui Housing & Development Board (HDB) atau membeli rumah mampu milik sedia ada dan diletakkan di bawah HDB.

Beliau melalui laman HarakahDaily berkata, peruntukan RM450 juta yang disasarkan membabitkan pembinaan 5,000 hingga 7,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun berkenaan.

"Daripada keseluruhan projek syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri, kita mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina di Selangor dalam tempoh berkenaan.

"Kita tidak jual semua unit berkenaan kerana sebahagiannya akan disewakan kepada rakyat yang tidak mampu membeli rumah," katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada syarikat swasta dengan meletakkan syarat perlu membina rumah mampu milik, pada penggal pertama pemerintahan Pakatan Rakyat.

"Masalah perumahan ini bukan dari segi harga rumah tetapi pendapatan rakyat yang rendah. Jadi untuk menampung bilangan mereka yang tidak mampu membeli rumah, kita akan wujudkan rumah untuk disewa seperti 'council home'," katanya.


Sumber: SelangorKu

Dewan Rakyat: RM52 Bilion Saham Bumiputera Hilang Isu ‘Remeh’

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 22 OKT: Dewan Rakyat menolak pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berhubung isu kehilangan RM52 bilion saham yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera dengan anggapan perkara itu 'remeh' dan 'dangkal'.

Penolakan itu dinyatakan dalam surat dengan alasan pertanyaan tidak boleh mengandungi hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, pujian, kejian, kalimah mengelirukan, menyindir, menyakitkan hati atau perkara dangkal dan meminta penerangan berkenaan perkara remeh.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata alasan bagi menolak soalan itu adalah tidak munasabah dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

"Apa yang berlaku ini mencemar perjalanan Parlimen sebagai badan tertinggi dalam kerajaan. Kalau mereka (Dewan Rakyat) ada masalah dengan soalan ini, mereka boleh tapis atau keluarkan ayat yang menyakitkan hati.

"Tetapi isu hilang saham bukan remeh jadi mengapa soalan itu ditolak dengan alasan sama. Mereka sendiri beri alasan yang remeh pada pertanyaan yang dikemukakan," katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng sebelum ini meminta kerajaan menjelaskan faktor Suruhanjaya Siasatan DiRaja tidak ditubuhkan bagi menyiasat skandal terbesar di Malaysia berkenaan kehilangan RM52 bilion saham yang sepatutnya diberikan kepada bumiputera.

"Bukan kerana kami hendak saham ini, tetapi ia isu besar yang perlu disiasat supaya saham yang hilang itu boleh dikesan dan diagihkan kepada orang miskin," katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan Bernama bertarikh 30 Jun 2009 yang melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan, berbanding jumlah sebenar yang masih dimiliki mereka.

Sumber: SelangorKu

PR Yakin Pengurangan 10 Peratus Belanja Mengurus Boleh Dicapai

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 22 OKT : Pakatan Rakyat (PR) yakin hasrat menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 10 peratus dan defisit 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh dicapai walaupun diragui pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata matlamat itu dapat dilaksanakan melalui pengurangan ketirisan dan pembaziran wang negara seperti yang dikenalpasti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2012, baru-baru ini.

Beliau berkata, hasrat itu akan dapat dicapai jika program yang tidak efektif dan menelan belanja besar seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan segera.

"Perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pertahanan adalah RM11.97 bilion bagi tahun 2013 tidak termasuk bajet tambahan.

"Mengikut anggaran bajet 2013, PLKN menggunakan perbelanjaan sebanyak RM712 juta berbanding seluruh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mempunyai peruntukan bajet sebanyak RM738 juta.

"Perkara ini jelas menunjukkan PLKN memakan bajet yang lebih kurang sama dengan satu Kementerian. Program ini patut ditangguhkan dan dikaji semula," katanya ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi adalah RM36.6 bilion bagi tahun ini tidak termasuk bajet tambahan.

"Perbelanjaan itu antaranya merujuk kepada pengurusan kawalan keselamatan di sekolah membabitkan RM1.6 bilion daripada RM2.02 bilion kontrak pengurusan dibazirkan. Program Susu 1Malaysia pula gagal apabila hanya mencapai 40 peratus sasaran daripada peruntukan RM170 juta.

Selain itu, sebanyak 83 projek bernilai RM2.2 bilion mengalami kerugian lebih 50 peratus daripada nilai asal ekoran kelemahan pemantauan ke atas projek berkenaan di bawah Kementerian Kerja Raya," katanya.

Kian Ming berkata penjimatan membabitkan beberapa aspek boleh mengurangkan perbelanjaan mengurus untuk kementerian berkenaan sebanyak 4.5 peratus.

"Ini adalah segelintir daripada program dan aktiviti yang dijalankan beberapa kementerian membabitkan pembaziran daripada pelaksanaan program yang kurang efektif. Walaupun program yang disenaraikan di atas bukan banyak, tetapi kos penjimatannya begitu ketara," katanya.

Sumber: SelangorKu

Belanjawan Alternatif PR 2014 : Perlindungan SOCSO 24 Jam Lindungi Kebajikan Pekerja

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan skim caruman perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) diperluaskan untuk tempoh 24 jam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, skim perlindungan 24 jam itu membabitkan caruman sebanyak RM1 oleh majikan, pekerja dan kerajaan pusat.

Katanya, skim sedia ada hanya melindungi pekerja untuk waktu bekerja sahaja dan tidak melindungi pencarum di luar waktu terbabit apabila berlaku kemalangan.

"Pelaksanaan perlindungan ini membabitkan caruman RM3 sebulan iaitu lebih jauh daripada apa yang disumbangkan oleh pekerja secara purata sekarang," katanya ketika membentangkan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, kekurangan perlindungan insurans untuk pekerja perlu diberikan perhatian sewajarnya dan perlu diperluaskan dalam usaha memastikan kebajikan pekerja terjamin.

"Kita lihat kurang alternatif membabitkan skim insurans yang melindungi kebajikan pekerja. Justeru, polisi ini dicadangkan supaya perlindungan sepanjang 24 jam diberikan dan tidak terhad pada waktu kerja sahaja," katanya.

Sumber: SelangorKu

Jawatankuasa Pilihan Mampu Atasi Pembaziran Kementerian Pertahanan

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan bagi meneliti segala urusan berkenaan pertahanan negara.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata jawatankuasa itu akan dianggotai semua pihak di Dewan Rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang bagi meneliti perbelanjaan yang dikeluarkan dan bakal digunakan berkenaan hal ehwal pertahanan.

Katanya, cadangan pembentukan jawatankuasa itu disebabkan Kementerian Pertahanan melakukan perbelanjaan dan pembaziran melampau dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan, baru-baru ini.

"Banyak isu berlaku akhir-akhir ini, khususnya berkenaan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan.

"Semua ini dapat dilihat dalam kes perbelanjaan kementerian itu membabitkan pembelian senjata, kapal selam dan kehilangan enjit jet pejuang," katanya pada sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif 2014, di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Kamarudin berkata, PR turut mencadangkan supaya Skim Insurans Petani Nelayan dan Penternak (SIPNP) diwujudkan membabitkan peruntukan RM30 juta untuk memberi perlindungan komprehensif kepada golongan luar bandar yang mempunyai pelbagai masalah, selain kejadian luar jangkaan.

Katanya, skim berkenaan meliputi pembiayaan antara kerajaan dengan nelayan dan petani yang dianggarkan mampu memberi manfaat kepada lebih 700,000 orang.

"PR juga mencadangkan supaya Orang Kelainan Upaya (OKU) berpendapatan bawah RM1,200 sebulan dibantu melalui satu program khas bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka," katanya.

Sumber: SelangorKu

Pakatan Rakyat Beri Tumpuan Pembangunan Rakyat Luar Bandar

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) akan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang, mampan dan inklusif.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan penyambungan membabitkan perhubungan internet atau fiskal seperti lebuh raya amat penting bagi mencapai keseimbangan ekonomi.

Katanya, pembinaan lebuh raya Pan-Borneo yang menyambungkan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf serta disegerakan, menjelang awal 2014.

"Lokasi kemalangan akan dikenalpasti dan dibaiki, selain pelaksanaan sistem penyelenggaraan berkala untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

"PR juga akan mengkaji semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Kita akan berusaha menurunkan harga kargo dan barangan yang masuk atau keluar dari negeri berkenaan yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan memastikan penjurusan pembekalan air dan elektrik dapat dicapai 100 peratus untuk kawasan luar bandar dan bandar terutama di negeri wilayah timur berkenaan.

"Usaha ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik diperbaiki melalui penggunaan teknologi solar, ladang angin serta mikro hidro," katanya lagi.

Sumber: SelangorKU

Penangguhan Pelaksanaan GST Mampu Atasi Beban Rakyat

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan kerana bakal meningkatkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penangguhan itu perlu dilakukan sehingga pendapatan minimum isi rumah mencapai tahap yang dikira sesuai bagi menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat pelaksanaan GST.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diambil memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan kadar perbelanjaan dan tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

"Kita akan memastikan pelebaran 'band' cukai pendapatan terutama membabitkan golongan menengah bagi mengelakkan kemasukan mereka ke 'band' cukai lebih tinggi dalam tempoh singkat. PR juga mensasarkan pelepasan cukai lebih banyak yang harus diberikan kepada golongan ini.

"Selain itu, kajian berkenaan pertukaran cukai korporat atau peribadi dengan GST perlu dilaksana dan diperjelaskan kepada rakyat. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka dibebani pertambahan cukai akibat GST jika cukai korporat atau peribadi dikekalkan pada kadar sama," katanya pada pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, PR akan memperkenalkan sistem cukai lebih adil melalui pengembalian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) pada tahap sebelum tahun 2007 bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah berlebihan.

"Tahap RPGT sebelum tahun 2007 membabitkan cukai berperingkat adalah pada kadar 30 peratus bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi perjualan tahun kelima. Pelaksanaan sistem cukai ini akan bersifat lebih saksama kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Sumber: SelangorKu

Pakatan Rakyat Jamin Perbelanjaan Efisyen dan Teratur

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan penjimatan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 billion sekiranya semua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dapat dihentikan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi menjamin perbelanjaan kerajaan yang lebih efisyen dan teratur, PR akan mengambil tindakan tegas terhadap kementerian yang terbabit dalam salah laku serta pembaziran seperti dilaporkan.

Beliau berkata, pembaziran perbelanjaan yang dikenal pasti adalah membabitkan Kementerian Pelajaran Malaysia berjumlah RM2.051 billion dari tahun 2010 ke 2012 yang digunakan untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada jumlah RM3.689 bilion peruntukan yang disalurkan.

"Walaupun berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang dibenarkan bertugas.

"Selain itu, kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah," katanya ketika bercakap dalam sesi pembentangan Belanjawan PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan dalam usaha mencapai pengurangan perbelanjaan sebanyak 10 peratus.

"Perkara ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan. PR juga menyarankan pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam pemberian kontrak dan perokumen peralatan.

"Selain itu, pelaksanaan lain adalah kekemasan mekanisma subsidi dan pengawalan barangan subsidi seperti petrol, diesel, gula serta tepung bagi mengelak salah guna subsidi," katanya.

Katanya, tindakan itu harus dilaksanakan sebagai usaha mengkaji semula keutamaan perbelanjaan negara dengan mengurang dan menghapuskan program yang tidak berkesan serta kurang berkepentingan.

Sumber: SelangorKu

Belanjawan Alternatif PR 2014: Anggar Unjuran Pertumbuhan Ekonomi 5.2 Peratus

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) menganggarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus tahun hadapan dengan nilai defisit negara bersamaan kadar 3.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belanjawan alternatif PR sentiasa mempunyai anggaran defisit lebih rendah daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, defisit Kerajaan BN dianggarkan antara 3.8 hingga 4 peratus ekoran kegagalan mereka menangani gejala rasuah dan ketirisan.

"PR meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2014 pada kadar 5.2 peratus berbanding 4.5 hingga lima peratus pada 2013 berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

"PR menganggarkan pendapatan negara sebanyak RM228 bilion, manakala anggaran perbelanjaan pula RM262 bilion dengan pengurangan sebanyak 10 peratus bagi perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen," katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, belanjawan alternatif berkenaan dirangka berdasarkan tiga teras utama dengan menekankan usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

"Antaranya adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, selain peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat," katanya.

SelangorKu

Penghargaan Peranan Wanita Dizahirkan Dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OKT : Peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan ekonomi negara bakal diraikan melalui peruntukan atau insentif khas yang menjadi salah satu agenda utama dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 yang dibentangkan hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setiap ibu bekerja bakal menerima peruntukan sebanyak RM1,200 setahun untuk membiayai caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Katanya, PR juga akan memperuntukkan RM3 bilion setahun bagi Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN) iaitu satu bentuk jaringan keselamatan sosial komprehensif bagi golongan isteri terutama suri rumah.

"Kerajaan PR akan menyumbang RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami dan skim ini boleh dikeluarkan apabila berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya dan pendapatan kekal," katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan mengekalkan polisi bagi meningkatkan pimpinan wanita pada tahap sekurang-kurangnya 30 peratus, pada tahun 2017.

"Pimpinan wanita di Parlimen, pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam juga swasta akan menjadi tumpuan utama dalam belanjawan kali ini," katanya.


Sumber: SelangorKu

Ringkasan Bajet Pakatan Rakyat 2014

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

Ramalan Ekonomi Global

Ekonomi global pada 2014 diramalkan akan meningkat berbanding 2013. Ramalan IMF (4.0% vs 3.3%), World Bank (3.0% vs 2.2%) dan OECD (4.0% vs 3.1%).

Namun begitu, realiti ekonomi global yang agak rapuh dan tidak menentu pada ketika ini (seperti yang akan dinyatakan di bawah) boleh mem cvchbawa cew3e4yrisiko untuk  ramalan di atas diubah kepada kadar yang lebih rendah;

i. Ketidaktentuan dalam penyelesaian permasalahan hutang Negara Amerika Syarikat (debt ceiling, quantitative easing)

ii. Kemelesetan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi di Eropah yang berterusan disebabkan oleh langkah-langkah penjimatan (austerity measures)

iii. Prestasi ekonomi China yang kurang memberangsangkan serta kelembapan pemulihan ekonomi India

Pakatan Rakyat meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2014 pada kadar 5.2% (berbanding 2013 pada kadar 4.5% hingga 5%), berdasarkan kepada ramalan peningkatan ekonomi global.

Anggaran Defisit


Pakatan Rakyat menganggarkan defisit Negara untuk 2014 pada RM 34 billion bersamaan kadar 3.2% GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar). Aggaran ini dibuat berdasarkan:

i. Anggaran pendapatan Negara sebanyak RM 228 billion

ii. Anggaran perbelanjaan Negara sebanyak RM 262 billion dimana pengurangan sebanyak 10% pada perbelanjaan operasi (OPEX) tidak termasuk emolumen

iii. Anggaran KDNK sebanyak RM 1,055 billion berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2% untuk 2014

Sejak Pakatan Rakyat menyediakan Belanjawan alternatif, anggaran defisit PR adalah selalunya lebih rendah daripada BN. Defisit sebenar kerajaan BN adalah dianggarkan lebih tinggi dari 3.2% (dianggarkan sebanyak 3.8% hingga 4%) disebabkan kegagalan mereka menangani rasuah dan ketirisan

Teras Belanjawan Pakatan Rakyat (PR)

Belanjawan PR kali ini dirangka berdasarkan kepada 3 teras utama:

a) Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan Awam

b) Pembangunan Ekonomi yang Seimbang, Inklusif dan Mampan

c) Peningkatan Kesejahteraan dan Kualiti Hidup Rakyat

Teras 1: Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan Awam

Pengukuhan kedudukan fiskal Negara adalah amat penting dalam memastikan kesinambungan kedudukan kredit Negara yang kini dihadapi kemungkinan penurunan taraf (sovereign downgrade) akibat penambahan defisit dan hutang negara yang membarah semenjak 2009.

Bajet alternatif 2014 PR adalah suatu usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar 3% GDP pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan bajet (budget surplus) selewat 2018. Reformasi fiskal ini dijangka akan membolehkan Malaysia:

i) Keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM 500 billion dan kos pembayaran hutang yang melebihi RM 20 billion setahun

ii) Menjamin ekonomi yang berdaya tahan dan anjal dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu

iii) Beralih dari pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pinjaman kepada pertumbuhan ekonomi yang dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan kerajaan

Bagi menjamin PERBELANJAAN kerajaan yang lebih efisyen dan teratur, PR akan:

a) Melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap kementerian dan jabatan kerajaan untuk mencapai pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 10%. Ini akan dicapai melalui;

i. Penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan

ii. Pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama sekali dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan

iii. Memperkemaskan mekanisma subsidi sasaran (targetted subsidy) dan juga pengawalan barangan subsidi seperti diesel, petrol, gula dan tepung bagi mengelakkan salahguna subsidi

b) Mengkaji semula keutamaan perbelanjaan (spending priority) dengan mengurangkan atau menghapuskan perbelanjaan program-program yang tidak berkesan dan kurang kepentingan sebagai contoh;

i. Program Khidmat Negara yang dilihat gagal mencapai objektif memupuk kesatuan kaum dan jatidiri di kalangan pelatih-pelatih. Program ini menelan belanja tahunan RM800 juta yang lebih besar dari perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (RM700 juta) yang juga mempunyai matlamat yang sama.

Program ini juga telah menyebabkan sebanyak 22 kematian semenjak penubuhannya dan sebilangan kes pelatih hamil yang bersalin sewaktu di dalam progam, disebabkan perancangan dan perlaksanaan program yang tidak baik. Program ini patut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Parliamentary Select Committee (PSC)

c) Mengambil tindakan tegas terhadap kesemua kementerian yang terlibat dengan sebarang salahlaku dan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara. PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM 20 hingga 30 billion boleh dijimatkan sekiranya kesemua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dihentikan. Antara contoh pembaziran besar yang dilaporkan adalah;

i. RM 2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian.

Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan anak-anak kita di sekolah. Pembaziran dianggarkan sebanyak RM 1.6illion

ii. Pengurusan projek Mansuh oleh Kementerian Kerja Raya. Dari 2010 hingga 2012, projek mansuh sebanyak 83 projek dianggarkan berjumlah RM 2.2 billion. Kerugian dianggarkan sebanyak RM 1.1 billion atau 50% daripada nilai asal disebabkan oleh kelemahan pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor

iii. Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM 1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang  Antarabangsa Kota Kinabalu.

Walaupun lebih 96% peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum dibaiki sejak 2010.
Anggaran kerugian yang dilaporkan setakat ini adalah sekitar RM 120 juta. Kemungkinan besar projek ini akan menelan belanja yang lebih besar untuk disiapkan.

B. Bagi menjana PENDAPATAN kerajaan yang lebih saksama dan adil, PR akan:

1.    Menangguhkan implementasi GST (yang dilihat akan lebih membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana) sehingga:

i. Pendapatan minima isirumah mencapai suatu tahap yang dikira sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat GS

ii. Pelebaran 'band' cukai pendapatan terutamanya golongan menengah untuk mengelakkan kemasukan mereka ke 'band' cukai yang lebih tinggi dalam tempoh yang singkat. Lebih banyak perelepasan cukai juga harus diberikan kepada golongan menengah

iii. Kajian menyeluruh mengenai trade-off cukai korporat/peribadi dengan GST dilakukan dan diperjelaskan kepada rakyat untuk mengelakkan rakyat dibebani dengan pertambahan cukai akibat GST sekiranya cukai korporat/peribadi dikekalkan pada kadar yang sama

2.  Memperkenalkan sistem cukai yang lebih saksama;

i. Mengembalikan cukai RPGT (real property gains tax) pada tahap sebelum 2007, iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama, sehingga cukai terendah 5% bagi perjualan pada tahun kelima. Ini bertujuan untuk mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan

D. Aspek-aspek lain bajet PR 2014

1. PR percaya bahawa peningkatan penyambungan (connectivity) samada dari segi perhubungan seperti Internet, mahupun perhubungan fisikal seperti lebuhraya adalah amat perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, mampan dan inklusif. Untuk mencapai keseimbangan dari segi pembangunan rakyat luar bandar/bandar, Sabah & Sarawak;

i. Lebuhraya Pan-Borneo yang menyambungkan bandar-bandar di Sabah & Sarawak akan di naiktaraf dan pembinaannya akan disegerakan seawal 2014. Lokasi-lokasi kemalangan akan dikenalpasti untuk diperbaiki dan penyelengaraan yang berkala juga akan dilakukan.

ii. Pengkajian semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Polisi yang lebih baik akan berupaya untuk menurunkan harga kargo dan barang-barang yang masuk/ keluar dari Sabah dan Sarawak, seterusnya menyumbang pada pertumbuhan ekonomi

iii.  Penjurusan kepada perbekalan air dan elektrik 100% untuk kawasan luar bandar & bandar terutamanya Sabah & Sarawak. Ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik menerusi penggunaan teknoloji solar, windfarms dan microhydro

2. PR amat menghargai sumbangan wanita untuk pembangunan Negara.  Kaum wanita akan diberikan insentif berikut untuk menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi Negara:

i. Peruntukan sebanyak RM 1,200 setahun bagi setiap ibu bekerja untuk membiayai caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di bawah 12 tahun

ii. Peruntukan sebanyak RM 3 billion setahun kepada Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN), iaitu suatu bentuk jaringan keselamatan sosial komprehensif bagi isteri terutamanya suri-suri rumah.

Kerajaan PR akan menyumbang RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami (suami mencarum bagi pihak isteri pada kadar minimum RM 120 hingga RM1,200 setahun) dan SCWN ini boleh dikeluarkan apabila berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal dan hilang kekal pendapatan

iii. Mengekalkan polisi untuk meningkatkan pimpinan wanita hingga pada tahap sekurang-kurangnya 30% pada tahun 2017. Pimpinan wanita di Parlimen, pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam dan swasta akan menjadi tumpuan utama.

Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Kerajaan Selangor Jadikan PJ dan Klang Bandar Bertaraf Dunia

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara – 'sovereign wealth fund' (SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Dana ini buat sementara waktu dinamakan Selangor Urban Development Fund atau SUDF, dijangka mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperoleh daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.

Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu didedahkan semalam oleh Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja dalam The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor.

"Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama kekangan kewangan yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

"Dengan model ini, kerajaan negeri ( dan pihak berkuasa tempatan ) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri," kata Dato' Menteri Besar yang juga merupakan Felo Eisenhower.

Beliau berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelesaikan semua butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan & reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard untuk operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep "kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari" dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura. Pada hari Khamis sebelum itu, Dato' Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk "How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience".

Sumber: SelangorKU

Menghadiri Karnival Deepavali Apartment Saroja di Puchong

Posted: 22 Oct 2013 09:40 PM PDT

Bersempena dengan perayaan Deepavali yang bakal menjelma, Jawatankuasa Penduduk Apartmen Saroja di Puchong telah menganjurkan Karnival Deepavali pada hari ini, 19 Oktober 2013.

YB Dr Xavier Jayakumar telah meluangkan masa untuk memenuhi jemputan ke karnival. Dibawah adalah gambar-gambar ketika berlangsungnya karnival tersebut.







OKU Terus Dibantu Pada Belanjawan 2014 Selangor

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

SHAH ALAM, 19 OKT : Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Bantuan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai galakan kepada golongan itu supaya mampu berdikari meningkatkan taraf hidup lebih baik.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan skim itu akan dibentangkan dalam Belanjawan 2014 pada November depan yang menyediakan pelbagai program bagi memberi manfaat kepada OKU untuk jangka masa panjang.

Kata Rodziah, skim ini bermatlamat memberikan peluang sama rata kepada semua pihak dengan harapan agar golongan itu juga dapat bersama-sama mencapai kejayaan.

"OKU diberikan halatuju jelas masa depan mereka sejurus selepas tamat belajar dengan mengambil contoh skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang berjaya menghasilkan usahawan dengan pinjaman kecil-kecilan.

"Saya mahu golongan OKU mencontohi kejayaan itu melalui usaha mereka sendiri," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan dan Pemulihan Harian Ramah di Seksyen 10, di sini.

Dalam lawatan itu, Rodziah meluangkan masa beramah mesra bersama 20 kanak-kanak istimewa dan menyerahkan sumbangan berupa peralatan mainan untuk pembelajaran daripada Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Rodziah yang juga Adun Batu Tiga itu berkata, beliau akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyediakan kawasan lebih selesa bagi kemudahan kanak-kanak OKU di pusat jagaan itu.

Katanya, dewan, bangunan atau kuarters kerajaan negeri yang tidak digunakan bakal dipertimbangkan sebagai lokasi baru bagi pusat jagaan itu.

"Pihak Majlis diharap mana-mana dewan yang tidak digunakan, bolehlah dicadangkan untuk menggantikan pusat jagaan sedia ada.

"Kita juga akan berbincang mana-mana bangunan kerajaan yang tidak digunakan boleh diberikan kepada pihak memerlukan," katanya.


Sumber: SelangorKu

Mengagihkan Payasam di Taman Sentosa

Posted: 22 Oct 2013 09:18 PM PDT

Taman Sentosa, Klang, 18 Oktober 2013 - Pejabat Khidmat ADUN Seri Andalas pada hari ini telah menganjurkan program Jom Kacau Payasam di Dewan MPK Taman Sentosa.

Para sukarelawan telah hadir seawal jam 12 tengahari untuk memasak dan membungkus payasam yang kemudiannya diagihkan kepada orang ramai pada jam 4 petang.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang hadir menjayakan program ini.










Melawat Rumah Keluarga Kami di Kajang

Posted: 22 Oct 2013 06:50 PM PDT

Kajang, 17 Oktober 2013 - YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini menghadiri majlis pembukaan rumah kebajikan Rumah Keluarga Kami yang terletak di Kajang.

Rumah kebajikan ini diuruskan oleh Vincent De Paul Society dan terdapat seramai 50 orang kanak-kanak ditempatkan disitu.

Majlis pembukaan rumah kebajikan telah dirasmikan oleh Duta Jepun yang memberi dana pembiayaan untuk perbelanjaan dua tingkat dan sebanyak RM40,000 juga disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Rumah Keluarga Kami memerlukan sebanyak RM25,000 untuk beroperasi setiap bulan.










Bekalan Air Terawat Berterusan Hingga 2022

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

Langkah mitigasi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dijangka memastikan pembekalan air terawat yang berterusan untuk sedekad lagi, iaitu sehingga 2022. Projek mitigasi itu dijangka siap tahun ini.

Antara langkah mitigasi yang diambil adalah pemulihan loji rawatan air Bukit Jelutong yang telah ditutup. Ini dijangka menaikkan takat rizab air sehingga 851 juta liter sehari (jls). Penggunaan teknologi membran akan meningkatkan penghasilan air terawat sebanyak 100 jls lagi.

Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) bagaimanapun menggesa Kerajaan Negeri supaya lebih tegas bertindak memastikan penyelenggaraan loji rawatan dan paip yang lebih ketat.

"Kajian yang dijalankan firma kaji selidik Enrico mendapati kesemua 29 loji rawatan air yang diurus Puncak Niaga tidak beroperasi di paras optima. Kira-kira 18 loji itu perlu dibaikpulih dan dinaik taraf," saran SERC.

Badan tersebut menggesa Kerajaan Negeri supaya mengatasi pencemaran air di sungai-sungai utama di Selangor, terutamanya di Semenyih dan di Langat.

Pencemaran di sungai-sungai itu menyebabkan jumlah bekalan air mentah berkurangan.

"Sehingga April 2012, sekurang-kurangnya 13 kejadian henti tugas di loji-loji rawatan akibat paras pencemaran yang tinggi," menurut laporan itu.

Punca pencemaran dikenal pasti daripada aktiviti perkilangan, ladang ayam dan itik, tumpahan minyak dan perlombongan pasir.

Kerajaan Negeri juga diminta menguatkuasakan undang-undang menghukum pencemar sungai, mengekang pencurian air dan penyelewengan, dan memindahkan kilang-kilang ke kawasan yang sesuai.


Sumber: SelangorKu

Syabas Sabotaj Ekonomi Selangor?

Posted: 22 Oct 2013 06:30 PM PDT

Hasil kajian Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) ke atas laporan media sekitar isu air Selangor menunjukkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menolak atau menangguhkan permohonan daripada lebih 1,000 pengusaha industri yang mahu mendirikan kilang di negeri ini.

Perkara itu disebut Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan dalam satu kenyataan kepada agensi berita Bernama.

Menurut Sohaimi, syarikat konsesi itu berbuat demikian atas dakwaan Selangor menghadapi kekurangan air terawat yang serius.

Syabas sebelum itu mencadangkan catuan bagi menghadapi krisis seperti yang didakwa mereka.

Kerajaan Pusat bagai-manapun berkata catuan tidak diperlukan.

"Pengumuman Kerajaan Pusat bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan setakat ini, bermakna ada bekalan air terawat yang mencukupi untuk pelanggan Syabas, sama ada kediaman atau industri," tegas laporan SERC itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Selangor tidak berada dalam krisis.

Beliau menolak langkah catuan, sebaliknya menggesa Syabas membekalkan air kepada kawasan-kawasan yang mengalami gangguan.
 
"Bagi kawasan yang menghadapi gangguan begini, Sya bas dikehendaki membekalkan bekalan air ke kawasan berkenaan. Bukanlah catuan. Kita minta Syabas tangani masalah itu supaya pengguna tidak menghadapi masalah," tegas beliau.

Antara kes yang pernah dilaporkan, ialah permohonan bekalan air daripada pengusaha sarung tangan getah terbesar di dunia, Top Glove Corporation, yang ditolak Syabas. Para pemaju turut mengeluh kerana permohonan mereka juga ditolak.

Bahkan, syarikat pengusaha barangan, F&N, menanggung kerugian besar kerana Syabas tidak membekalkan air selama lima hari kepada kilang F&N di Pulau Indah.


Sumber: SelangorKu

Sekitar Upacara Penutup Sukan Sekolah SJKT Coalfield

Posted: 22 Oct 2013 08:31 PM PDT

YB Dr Xavier Jayakumar pada hari ini telah hadir pada Upacara Penutup Sukan Sekolah SJKT Coalfiled. Dibawah adalah gambar-gambar di upacara tersebut.