Isnin, 29 Ogos 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Perutusan Sambutan Eid ul-Fitr 1432H/ 2011

Posted: 28 Aug 2011 11:48 PM PDT

Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Pada ayat 185, Surah Al Baqarah itu termaktub perintah untuk umat Islam menunaikan ibadah puasa dan ayat tersebut juga mengsiyaratkan keutamaan bulan Ramadhan, antaranya ialah yang padanya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk. Al Quran atau gelar lainnya iaitu Al Furqan menjadi keterangan buat umat manusia membedakan antara yang hak dan batil, antara kebaikan dengan keburukan, dan antara cahaya dan fasad.

Merenungi pesan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sepertimana yang terkandung dalam ayat tersebut pasti mengetuk nurani kita betapa dikaitkan perintah untuk berpuasa dan keutamaan Al Quran sebagai pedoman menunjuki jalan yang lurus. Ternyata terkandung dalam ayat tersebut bukanlah Allah SWT mahukan suatu kesukaran buat hambanya dengan mengwajibkan ibadah puasa bahkan juga ianya keterangan bagi Rahmah Nya, Kasih Sayang Nya yang melimpah ruah dan seperti yang ditunjuki dalam ayat sebelumnya, ayat 183 Surah Al Baqarah, agar kita menjadi umat yang bertakwa.

Menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan merupakan suatu ujian kepada umat Islam, ujian melawan nafsu, menundukkan musuh utama dan sekiranya menang, dianugerahi Alllah SWT dengan petunjuk serta ampunan dari Nya. Maka tidak hairanlah kita mengapa perintah melaksanakan ibadah puasa dipintal bersama dengan keutamaan Al Quran. Kedua-duanya menjadi suatu kesempatan buat umat untuk menghayati, merenungi serta untuk dimaanfaatkan, dengan tujuan dilimpahi petunjuk untuk membedakan antara yang benar dengan yang batil, menafikan ketundukan kepada makhluk dan bersaksi bahawa kekuasaan hanya milik Dzul Jalal Wal Ikram ( Yang Maha Memilki Kebesaran dan Kemuliaan )

Kini Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Sepanjang kita menjalani ibadah puasa ianya umpama sebuah madrasah yang mendidik erti kerendahan hati, erti sabar menanggung ujian, senantiasa membesarkan Allah SWT dan bersyukur kepada Nya. Tibanya satu Syawal semestinya disambut dengan rasa gembira dan bersyukur. Apatah lagi sekiranya bersama sahabat handai serta sanak saudara. Moga kesempatan memperkukuh hubungan antara kita dengan Sang Pencipta sepanjang bulan Ramadhan itu berterusan. Izinkan saya, Azizah dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Eid ul-Fitr kepada seluruh muslimin dan muslimat dengan lafaz Minal Eidin Walfaizin wal Maqbulin.

ANWAR IBRAHIM

PKR PENGKALAN HULU

PKR PENGKALAN HULU


Selamat Hari Raya Aidiklfitri 2011

Posted: 29 Aug 2011 06:43 AM PDT

Warga kerja blog PKR Pengkalan Hulu Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua penduduk Pengkalan Hulu dan seluruh umat islam seluruh Malaysia.

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!


Selamat Hari Raya Aidilfitri 2011

Posted: 29 Aug 2011 06:05 AM PDT

Salam

Sempena 1 Syawal PKR Gerik mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Mohon maaf zahir batin kepada semua Penduduk Gerik dan semua umat islam seluruh malaysia tak kira jua dimana berada.

Umat Islam Berhari Raya esok.

Posted: 29 Aug 2011 05:51 AM PDT

1 Syawal 1432H. [MOD] -

Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja Melayu sebentar tadi mengumumkan bahawa 1 syawal jatuh pada 30 Ogos bersamaan dengan hari selasa.

Dengan itu umat Islam akan menyambut Hari Raya Puasa esok hari selepas menunaikan ibadah puasa selama 29 hari.

AMK BATU

AMK BATU


Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H

Posted: 29 Aug 2011 08:13 AM PDT

Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena
HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H


Assalamualaikum w.r.t. w.b.t. dan Salam Perjuangan,

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal yang bakal menjelang tiba, saya disini ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin muslimat terutama semua kenalan para penduduk di dalam kawasan khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Batu (P.115).

Saya yakin dan percaya setelah sebulan menempuh ibadah puasa Ramadhan yakni Rukun Ketiga dalam agama Islam, muslimin-muslimat semua sama-sama sekali lagi diuji selain menahan dahaga dan kelaparan, telah juga berjaya membendung pelbagai nafsu diri dan melalui cabaran mihnah rintangan menjauhi segala larangan semasa meneruskan aktiviti harian sebagai rakyat Malaysia. Diharapkan dengan semangat ini moga semua muslimin - muslimat kekal redha, bertaqwa dan bersyukur penuh kesabaran seterusnya diberi ganjaran pahala dan keampunan.

Selain itu diteruskan beristiqamah memperbaiki diri dan senantiasa berubah ke arah kebaikan untuk perjalanan kehidupan kita sebagai masyarakat sivil, hidup aman harmoni di lain-lain bulan seterusnya. Ini terutamanya dalam meningkatkan iltizam dan mutu kerja-kerja sukarelawan sesama kita dalam menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran bagi kebahagiaan dan hak rakyat yang sewajarnya. Keupayaan dan dedikasi terutama muslimin-muslimat saya yakini sepanjang bulan Ramadhan boleh dicontohi apabila bersama-sama membantu saya membela golongan yang tertindas dalam gaya kehidupan dan kos sara hidup kian meningkat selain sangat menyukarkan semakin hari terutamanya rakyat yang tidak diberi bantuan yang segera dan sewajarnya.

Seiring dengan suasana hari lebaran yang pastinya akan disambut dengan penuh kegembiraan bertemu keluarga, sanak saudara dan sahabat taulan, marilah kita sama-sama memperingati dan tidak sesaat pun melupakan golongan fakir miskin dan pelbagai lapisan dalam masyarakat kita yang berada dalam golongan kurang berada dan memerlukan bantuan. Diharapkan sumbangan bantuan yang kita hulurkan semasa menjalani ibadah Ramadhan yang penuh pahala ini dilanjutkan juga bagi meringankan beban hidup golongan tersebut. Semoga usaha kita akan menimbulkan keinsafan dan seterusnya senantiasa memanjatkan rasa kesyukuran atas nikmat dan rezeki yang kita perolehi.

Akhirul kalam ucapan, saya sekali lagi merakamkan ucapan Selamat Hari Raya dan menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua sekiranya ada tersalah kata-bahasa, tersilap langkah-perilaku, sepanjang perkhidmatan harian saya sebagai Ahli Parlimen sekiranya ada kekurangan dan kelemahan. Insya Allah akan saya perbaiki sedaya upaya dari masa ke semasa atas petunjuk dan kerjasama semua.

Tidak lupa juga saya dengan berbesar hati menjemput semua terutamanya warga Parlimen Batu dan kawasan sekitar agar hadir ke Majlis Jamuan Rumah Terbuka bersempena Perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang sebagaimana biasa saban tahun dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Batu / KEADILAN Cabang BATU pada 17 September 2011 (Sabtu) di Taman Dato' Senu, Kuala Lumpur kelak. Kehadiran anda semua bagi menceriakan majlis adalah amat dialu-alukan dan dihargai.

Moga iltizam Ramadhan dan Syawal menjelang menjanjikan barakah dalam kehidupan mendatang.

Salam perjuangan demi rakyat menuju kemenangan.

CHUA TIAN CHANG (TIAN CHUA)
Ahli Parlimen BATU
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat