SSM Jejaki Bapa dan Anak Bantu Siasatan Skim Pelaburan
Khamis Julai 8, 2010
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang berusaha menjejaki seorang bapa dan anaknya bagi membantu siasatan terhadap sebuah syarikat yang dikatakan gagal memberikan pulangan keuntungan kepada pelabur sepertimana yang dijanjikan selepas tamat tempoh matang.
Pegawai Perhubungan Awam SSM Mohamad Shahren Mohamad Yusri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menjejaki Manoharan a/l Kandan, 48, dan anaknya M.Kesavanmahe, 22, yang beralamat di No 1071 Jalan Lavender Heights 24, Taman Lavender Heights, Negeri Sembilan.
Beliau berkata syarikat berkenaan, Mahekhamay Agrotech Farms Group, disiasat berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai terhadap skim pelaburan penternakan lintah yang ditawarkannya.
Katanya, kebanyakan pelabur mendakwa mereka gagal memperolehi semula wang pelaburan serta pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan selepas tamat tempoh matang.
"Pelabur gagal mengesan dan menghubungi penganjur skim pelaburan itu, siasatan dijalankan di bawah seksyen 366 (1) dan 363 (3) Akta Syarikat 1965," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mengetahui lokasi, alamat dan nombor telefon terkini kedua-dua lelaki itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat SSM Encik Luqman Baharam di talian 03-22995381 atau Pegawai Pegawai Penyiasat Kanan SSM Encik Baharudin Atan di talian 03-22995347. - BERNAMA
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/7/8/mstar_berita/20100708215802&sec=mstar_berita***********************
Sindiket pelaburan kebas duit
Sinar Harian 21 Jun 2001
SEREMBAN – Dengan bertopengkan skim pelaburan berasaskan projek ternakan lintah, seorang lelaki dan anaknya berjaya memperdayakan kira-kira 3,000 mangsa di seluruh negara serta membawa lari wang tunai dianggarkan RM40 juta.
Lelaki terbabit, 50an, dan anaknya berumur sekitar 20an dipercayai mengaburi mata mangsa dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda nilai pelaburan dalam tempoh enam bulan.
Skim pelaburan putar alam itu dikendalikan menerusi sebuah syarikat beroperasi awal 2008 hingga tahun lalu dan mempunyai ibu pejabat di bandar ini, selain beberapa cawangan di negeri lain.
Akibat kegiatan penipuan itu, mangsa melibatkan masyarakat pelbagai kaum termasuk orang kenamaan mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM1.5 juta.
Seorang mangsa, Mohamad Halim Husnan, 40, dari Seremban, berkata, ramai yang terpedaya kerana publisiti meluas skim itu di sebuah akhbar pada awal 2008.
"Syarikat terbabit menjanjikan pulangan kira-kira RM12,500 bagi setiap RM5,000 dilaburkan selepas enam bulan bagi projek menternak lintah. Lebih banyak jumlah dilaburkan, lebih tinggi nilai pulangan.
"Pada dua bulan pertama, memang ada pelabur yang mendapat sedikit pulangan. Namun, bagi bulan-bulan berikutnya, kami tidak menerima walau satu sen pun," katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan kira-kira 150 mangsa penipuan skim berkenaan di Rasah dekat sini, semalam.
Dia yang mempengerusikan majlis perjumpaan itu berkata, pelabur mengesyaki ditipu cuba meminta wang dikembalikan, tetapi gagal kerana syarikat didapati tidak beroperasi dan pejabatnya disita.
Kata Mohamad Halim, dua lelaki terbabit dan semua ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan serta terdapat kemungkinan mereka melarikan diri ke luar negara.
Beliau mendakwa, kegiatan penipuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini, semua mangsa tidak pasti tentang tindakan susulan diambil.
"Pada perjumpaan hari ini (semalam), kami sepakat untuk mengemukakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Parlimen, 30 Jun ini.
"Selain itu, kami akan melantik peguam supaya tindakan undang-undang diambil terhadap semua pemilik syarikat berkenaan," katanya.
Mohamad Halim yang kerugian RM20,000 berkata, dipercayai masih ramai mangsa penipuan skim pelaburan ternakan lintah itu belum tampil membuat laporan dan meminta mereka menghubunginya di talian 012-3848840.
Sementara itu, mangsa, S Magindran, 45, dari Rawang, Selangor, berkata, dia dan dua rakannya menyertai skim terbabit untuk menambah pendapatan.
Bagaimanapun, kata Magindran, hasrat itu tidak kesampaian malah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7849082.asp***********************
Mahen 'tawan' lintah
SEREMBAN 22 Dis. – Apabila sebut lintah, ramai yang geli dan tidak kurang pula yang menutup telinga kerana tidak mahu mendengar kisah 'si penyedut darah' ini.
Tetapi jika kita terus bersembang dan bercerita mengenai lintah, ia akan membuatkan anda merasa terpukau, terpegun dan tidak kurang juga yang balik ke rumah memikirkan cara untuk melabur dalam sektor pertanian melalui penternakan lintah.
Inilah yang dibuktikan seorang pemuda apabila menjadikan usaha menternak lintah sebagai pendapatan lumayan selepas menyedari ia cukup berpotensi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Mahekhamay Agrotech Farms (MKAF), syarikat yang membekalkan dan menjalankan perniagaan lintah, kini terus mendapat permintaan di dalam dan luar negara.
Menurut pengusahanya, M. Mahen, perniagaan berasaskan lintah ini mula diceburi sejak dua tahun lalu dan setakat ini syarikatnya memiliki 3,000 tangki lintah untuk dibekalkan kepada penternak di seluruh negara.
Tambahnya, walaupun ada sesetengah individu yang berasa geli dengan haiwan ini apatah lagi untuk menternaknya, namun di negara barat bidang ini sudah lama diterokai.
Ini kerana pengamal perubatan moden menggunakan air liur lintah yang dipanggil hirudin untuk rawatan pembedahan dan kosmetik.
"Saya rasa penglibatan saya dalam industri penternakan lintah ini amat berbaloi selain mendapat pasaran yang begitu meluas.
"Setakat ini pasaran lintah berjaya menembusi Singapura dan permintaan menggalakkan berikutan setiap bulan kira-kira 4.5 juta ekor lintah dieksport ke negara itu.
"Jadi apabila ternakan ini dibuat secara serius di negara ini, ia nyata memberi pulangan pendapatan yang baik ditambah pula faktor cuaca di negara yang sesuai," katanya.
Mahen memberitahu, ternakan secara berskala kecil melibatkan modal sekitar RM5,230 bagi satu tangki poli bersaiz 2.5 kaki x 3.5 kaki yang menempatkan 2,000 ekor lintah.
"Biasanya proses dari pembesaran lintah sebelum ia sesuai dijual memakan masa enam bulan dan saiznya sekitar tiga hingga empat inci.
" Selepas tempoh itu, hasil pendapatan yang bakal diterima oleh penternak pula dianggarkan RM15,000," katanya.
Mahen turut menjelaskan, lintah tidak memerlukan penjagaan khusus kerana ia hanya perlu diberi makan darah ikan keli atau belut seminggu sekali selain memastikan sistem cahaya dan pengudaraan cukup.
"Ia mudah kerana tidak perlu kerap tukar air dan ia boleh membiak dari semasa ke semasa. Kerjanya mudah kerana perlu bagi lintah makan seminggu sekali," ujarnya.
Mahen memberitahu, pihaknya juga turut memberi taklimat dan lawatan tapak secara percuma kepada mereka yang berminat untuk menjadi penternak.
Selain dari itu, pihaknya turut menyediakan pakej kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan berskala kecil dan besar.
"Untuk skala kecil, mereka boleh menggunakan satu atau dua tangki dan jaga dibelakang rumah atau laman sendiri.
"Bagi mereka yang mahu berskala besar lebih daripada 50 tangki, MKAF juga menyedia bantuan teknikal untuk tangki-tangki tersebut," katanya.
Jelas Mahen, pengusaha juga tidak perlu bimbang mengenai bagaimana untuk memasarkan lintah apabila cukup tempoh kerana MKAF sendiri boleh membantu.
"Syarikat itu akan membeli semula lintah-lintah yang diternak oleh mereka," katanya.
http://syukrilan.wordpress.com/2009/01/08/tawan-lintahmerasa-terpukauternakan-berskala-kecil/